40 kaki judi diberkas terlibat perjudian haram

Polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram.

KUCHING, Mac 26: Kegiatan perjudian haram di negeri ini terus dibanteras dengan tangkapan seramai 40 kaki judi sepanjang minggu lalu.

Kesemua individu termasuk empat warga asing itu ditahan menerusi 30 serbuan yang dilakukan mulai Mac 19 hingga 25 lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, daripada 30 serbuan, 26 serbuan dilakukan di pusat menjual nombor loteri haram, premis judi siber (3) dan satu serbuan di tempat perjudian terbuka.


Katanya, polis juga telah merampas wang tunai berjumlah RM7,992 dipercayai hasil daripada perjudian haram itu.

“Pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, kalkulator, mesin cetak mudah alih serta slip pertaruhan turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, semua serbuan telah dilakukan di Kuching (7), Miri (6), Sibu (5), Padawan (2), Sri Aman (1), Saratok (1), Meradong (1) Mukah (1) Lawas (1), Betong (1) Kota Samarahan (1) Bau (1) Sarikei (1) dan Bintulu (1).

“Semua suspek disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. — DayakDaily