Penjawat awam rugi RM160,000 sindiket ‘Macau Scam’ di Bau

Supt Maria Rasid

KUCHING, 26 Julai: Seorang penjawat awam di Bau mengalami kerugian RM160,000 akibat ditipu sindiket ‘Macau Scam’ baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Supt Maria Rasid berkata mangsa pada 4 Julai lalu menerima panggilan telefon kononnya dari Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mendakwa dia mempunyai tunggakan bayaran cukai RM38,000 satu syarikat yang didaftar atas namanya.

Katanya, mangsa menafikan perkara tersebut menyebabkan dia kemudian dinasihatkan untuk membuat satu laporan polis secara atas talian dengan berhubung dengan dua lelaki mendakwa diri mereka pegawai kanan polis dari IPK Pahang.


Mangsa yang tidak menyedari dirinya ditipu telah berjaya diperdaya kedua-dua suspek dengan turut memberikan segara butiran peribadi termasuk maklumat akaun bank.

“Seterusnya mangsa diarahkan membuat pembayaran wang berjumlah RM228,000 kepada pihak mahkamah dan disebabkan tiada wang, mangsa membuat pinjaman wang dari sebuah institusi kewangan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila menerima panggilan daripada institusi kewangan pada 23 Julai dan dimaklumkan terdapat dua pemindahan wang berjumlah RM160,000 dari akaun simpanannya,” kata Maria dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 24 Julai dan siasatan lanjut kes masih dijalankan.

Beliau selain itu turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sekiranya mendapat panggilan telefon yang mencurigakan.

“Hubungi atau rujuk mana-mana balai polis berhampiran jika berasa was-was dengan panggilan tersebut,” katanya.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian infoline JSJK 0132111222 untuk sebarang pertanyaan. — DayakDaily