Penjara dan denda jika disabitkan kesalahan menumbuk, mengugut wartawan bertugas

PDRM logo.

KUCHING, 21 Feb: Seorang lelaki berhadapan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika disabitkan kesalahan kerana dipercayai menumbuk dan mengugut wartawan di satu lokasi kemalangan jalan raya di Ulu Bintawa, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani, laporan telah dibuat oleh mangsa berusia 45 tahun yang bekerja di sebuah syarikat suratkhabar berbahasa Cina.

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dikatakan menumbuk dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah terhadap mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.

“Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 2.50 petang (Sabtu), ketika wartawan terbabit hadir untuk merakamkan gambar satu kejadian kemalangan di sebuah tapak projek perumahan di belakang stesem minyak di Ulu Bintawa.

“Wartawan terbabit didatangi dan dimarahi tiga lelaki kerana merakamkan gambar mangsa kemalangan yang maut di tempat kejadian dan kemudian meminta supaya gambar tersebut dipadamkan.

“Berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga wartawan terbabit ditumbuk dan dia turut diberi amaran agar tidak menyiarkan kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang risau akan keselamatannya kemudian terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek utama kes terbabit sudah dikenalpasti. — DayakDaily