Penjara Bintulu dikenakan ‘Lockdown’ selepas seorang warden positif Covid-19

Sarawak Covid-19

BINTULU, 12 Feb : Penjara Batu 11, Jalan Bintulu- Miri di sini dikenakan Perintah Sekatan Pergerakkan atau ‘Lockdown’ serta merta selepas salah seorang warden di penjara berkenaan di dapati positif jangkitan Covid-19.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing selepas beliau mendapat maklumat tersebut daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.

“JPBB Bintulu telah mengambil tindakan segera dengan mengenakan arahan kuarantin terhadap warden dan banduan lain yang terlibat bagi membolehkan pengesanan kes aktif (ACD) dijalankan.

“Kira-kira dalam 700 orang jumlah yang terlibat dimana terdiri daripada warden penjara, keluarga mereka dan banduan yang akan menjalankan saringan pemeriksaan dan ujian calitan COVID-19 dan juga dikenakan kawalan pergerakan selama 14 hari.

Katanya, sebahagian daripada warden penjara dan banduan telah diarahakan untuk dikuarantin dalam kawasan penjara berkenaan

Manakala sebahagian lagi warden terlibat serta keluarga mereka ditempatkan dan diarahkan untuk menjalani kuarantin di Stadium Muhibah di sini.

Mengulangi kenyataannya sebelum ini, Tiong berkata JPBB Bintulu dan Pejabat Kesihatan Bintulu memandang serius dan terus memantau situasi semasa kes jangkitan serta penularan wabak Covid-19 di penjara terbabit.

Jelasnya, tindakan dan arahan yang dikenakan itu tidak bermaksud atau menpunyai sebarang niat untuk menyukarkan sesiapa termasuk warden di penjara tersebut.

katanya, ia sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti terlibat.

Justeru beliau berharap agar semua pihak dapat memberikan kerjasama supaya tugas memerangi wabak ini dapat dilakukan dengan lebih efektif dan berkesan. -DayakDaily