Penilaian Darjah 6 bermula 2025, Tingkatan 3 pada 2028 — Sagah

Dato Sri Roland Sagah Wee Inn (file photo)
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Mei: Sarawak akan melaksanakan penilaian untuk pelajar Darjah 6 pada tahun 2025, manakala Tingkatan 3 pada 2028.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penilaian ‘standard’ sendiri itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Advertisement

“Penilaian tersebut akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran ‘Dual Language Programme’ (DLP) seperti Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris.

“Kohort pertama tahun 2020 akan menduduki penilaian ini pada tahun 2025,” kata Sagah.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) di sini hari ini.

Tambah Sagah, kementeriannya juga mengadakan perbincangan dengan badan penilaian antarabangsa yang bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Katanya, ia bagi memastikan penilaian ‘standard’ itu menepati kualiti, tidak membebankan pelajar dan ibu bapa.

Perubahan dalam sistem penilaian ini berlaku selepas kerajaan pusat memansuhkan pentaksiran Tingkatan 3 pada bulan Jun 2022.

Selain itu, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk Darjah 6 juga dibatalkan pada tahun 2021. — DayakDaily

Advertisement