Peniaga rugi RM4,000 ditipu kekasih FB

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 18: Seorang wanita di sini kerugian RM4,000 selepas terperdaya dengan ‘kekasih’ yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

Peniaga berusia 49 tahun itu telah ditipu seorang lelaki yang dikenali sejak Disember tahun lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya bernama Micheal melalui Facebook dan kemudian bercinta dengannya.

Katanya, mangsa kemudian menerima mesej dari lelaki berkenaaan dan mengatakan ada menghantar bungkusan barangan melalui kargo yang mengandungi duit dan telefon sebagai tanda perkenalan mereka.

“Suspek seterusnya memberitahu mangsa untuk menebus bungkusan tersebut, namun perlu memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan barangan berkenaan.

“Semalam, pada pukul 2.35 petang bertempat di Cimb Bank Kuching, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM4,000 ke dalam akaun Cimb Bank atas nama Lisa Adeline Peterus,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek sama kemudian memaklumkan bahawa barang tersebut tidak dapat melepasi pihak Kastam dan memerlukan mangsa membayar wang RM15,500 lagi bagi mendapatkan bungkusan barangan tersebut.

“Mangsa akhirnya sedar yang suspek telah menipu dirinya sebelum dia membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily