Sebuah bilik kelas SJK Chung Hua terjejas akibat kebakaran

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Jan 18: Sebuah bilik kelas di SJK Chung Hua di sini terbakar dalam satu kejadian kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.42 malam itu, bahagian dinding dan siling kelas berkenaan telah terbakar kira-kira 50 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawang Lingem berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.45 malam.

Jelasnya, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Kelihatan kesan kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu hanya melibatkan sebuah bilik kelas.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengawal kebakaran tersebut bagi memastikan api tidak merebak ke kelas lain,” katanya di sini hari ini.

Tawang menambah, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke bilik kelas bersebelahan.

Katanya, punca kebakaran tersebut masih lagi dalam proses siasatan.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.05 malam,” ujarnya. — DayakDaily