Peniaga maut dirempuh kereta yang dipandu anggota polis

Keadaan kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Advertisement

KUCHING, September 1: Seorang peniaga wanita maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu anggota polis di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Loh Chai Sia, 37, dari Sabah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan semasa sedang mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi dikatakan telah melanggar belakang sebuah kereta Toyota Vios
yang secara tiba-tiba berhenti mengejut di jalan berkenaan.

Advertisement

Menurut beliau, mangsa kemudian keluar dari kereta untuk memasang tanda segi tiga amaran sebelum dilanggar oleh sebuah kereta Proton Satria Neo yang dipandu seorang anggota polis.

Keadaan kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

“Keadaan itu dipercayai berlaku kerana kereta tersebut hilang kawalan akibat jalan raya yang licin.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badannya kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, kedua-dua pemandu yang masing-masing berusia 33 dan 40 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada kedua-dua pemandu untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement