Remaja lelaki maut, 4 lagi cedera dalam nahas dua kereta

Kelihatan lokasi kemalangan di Jalan Bukit Sebangkoi.

SARIKEI, September 1: Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila dia maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Gen 2 di KM 426, Jalan Bukit Sebangkoi di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan mangsa, Danial Tong Jia Yong, 20, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt, Alexson Naga Chabu berkata, penumpang Perodua Myvi yang berusia 21 tahun pula patah tulang pahanya.


Menurutnya, kejadian sama juga mengakibatkan pemandu serta dua penumpang Proton Gen 2 tersebut cedera.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Danial telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Gen 2.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan Perodua Myvi tersebut berpusing dan terhumban ke bahu jalan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan lokasi kemalangan di Jalan Bukit Sebangkoi.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, sebelum itu, mangsa bersama rakannya dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Kuching dari arah Sarikei.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat.

“Mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily