Peniaga kedai makan rugi lebih RM5,000 selepas premis perniagaan dipecah masuk

Bahagian siling di mana perompak memasuki premis perniagaan itu.

KUCHING, Ogos 26: Seorang peniaga kedai makan kerugian lebih RM5,000 selepas premis perniagaan di Stadium Perpaduan di sini dipecah masuk perompak semalam.

Kejadian itu disedari kira-kira pukul 5.30 pagi selepas peniaga berkenaan pergi kedai tersebut untuk memulakan perniagaan.

Jurucakap polis berkata, sebaik tiba di premis perniagaan itu, peniaga berkenaan terkejut apabila mendapati pintu kedai tersebut dalam keadaan terbuka.


Katanya, panik melihat keadaan kedai yang dalam keadaan berselerak dan pelbagai barangan hilang, peniaga berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati perompak dipercayai masuk ke dalam premis perniagaan itu menerusi siling kedai tersebut.

“Pelbagai barangan memasak seperti dapur gas, tong gas, periuk nasi dan peralatan lain juga telah dibawa lari perompak,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, tidak cukup dengan itu, perompak juga dipercayai melarikan telur dan mi segera milik peniaga berkenaan.

Katanya, perompak yang belum dikenalpasti itu kemudian membawa lari hasil curi menerusi pintu utama kedai tersebut.

Keadaan pintu kedai yang terbuka selepas dipecah masuk perompak.

“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang terlibat.

“Ini kerana, premis perniagaan itu tidak mempunyai sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Sambil menambah, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan kes. — DayakDaily