Jangan seludup masuk anjing cegah wabak rabies

Poster Cegah Rabies (gambar fail)

KUCHING, Ogos 26: Orang ramai dilarang menyeludup masuk anjing dari Sarawak sebagai langkah pencegahan penularan wabak penyakit rabies atau wabak anjing gila.

Sebarang aktiviti import anjing dari negeri itu tidak dibenarkan sehingga kini, sejak wabak berkenaan diisytiharkan di Sarawak pada Julai tahun lepas.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mempertingkatkan kawalan pintu masuk terutama sekali laluan darat iaitu melalui ‘Immigration Quarantine Security’ (IQS).

Dalam pada itu, JPV akan membuat perancangan rapi bagi menghalang sekali gus menangani penularan wabak itu di negeri ini.

Beberapa siri kempen kesedaran telah dilaksanakan selain turut mengadakan simulasi ‘table top’ di lapangan.

Penambahbaikan kawasan imunisasi juga akan dilaksanakan di sempadan dengan memastikan kesemua anjing yang berada dalam lingkungan 30 kilometer akan diberi pelali vaksin rabies.

Sehubungan itu, orang ramai perlu memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana individu yang cuba menyeludup anjing.

Ini kerana, pencegahan wabak rabies adalah tanggungjawab bersama. — DayakDaily