PADAWAN, Feb 14: Para peniaga barangan terpakai diingatkan agar tidak bersubahat dengan membeli, menyimpan dan menjual barangan curi daripada individu yang mencurigakan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, polis memberi amaran keras kepada para peniaga tersebut dan jika terbukti ada peniaga menerima, membeli atau meyimpan barangan curi dan terbukti bersubahat dengan penjenayah, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk menyokong penamatan lesen menjual barangan terpakai peniaga berkenaan.
Katanya, para peniaga diminta supaya sentiasa bertanggungjawab dan merekodkan dengan jelas butiran setiap barang yang dibeli dan disimpan dalam premis perniagaan mereka.
“Kita berharap supaya peniaga sekenhend tidak melaggar syarat dan peruntukan undang-udang di bawah Akta Peniaga Sekenhend 1946.
“Pihak polis juga dari masa ke semasa akan membuat pemriksaan mengejut bersama agensi-agensi lain ke premis perniagaan sekenhend.
“Justeru, polis meminta peniaga sekenhend agar menghubungi pihak polis atau balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merbin menambah, aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) juga telah diperkenalkan bagi memudahkan masyarakat umum menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Jelasnya, pihak polis turut menyeru orang awam supaya lebih peka tentang keselamatan diri dan ahli keluarga semasa menggunakan jalanraya semasa musim perayaan Tahun Baru Cina.
“Polis juga menasihatkan orang awam supaya menghubungi pihak polis atau menggunakan aplikasi VSP untuk memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah semasa musim perayaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily