Padah curi telefon bimbit, pelajar ditangkap

Supt. Aidil Bolhassan

PADAWAN, Feb 14: Tindakan seorang pelajar sekolah menengah di sini mencuri dua unit telefon bimbit milik anak kepada seorang kakitangan sekolah terbabit akhirnya membawa padah apabila remaja itu ditahan awal pagi tadi.

Pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang itu ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Aidil Bolhassan berkata, sebelum ditahan remaja berusia 14 tahun tersebut disyaki mencuri dua unit telefon bimbit masing-masing jenis Samsung dan Lenovo kira-kira pukul 1.10 petang.

Katanya, perbuatan jahat pelajar itu dikesan oleh tukang cuci sekolah tersebut apabila melihat suspek membuka pintu depan kuarters yang didiami staf sekolah itu.

“Suspek kemudian menceroboh masuk kuarters tersebut dan disyaki mencuri dua unit telefon dari dalam bilik anak staf sekolah berkenaan.

“Jumlah kerugian yang dialami pengadu dianggarkan berjumlah RM1,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aidil menambah, siasatan awal mendapati suspek telah menyerahkan kedua-dua telefon bimbit tersebut kepada rakannya yang dikenali sebagai Alan.

“Buat masa ini, polis masih memburu suspek bernama Alan, manakala suspek utama susah ditahan reman untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily