Pengusaha inap desa perlu kreatif guna media sosial, kata Willie

Willie Mongin

KUCHING, Julai 8: Pengusaha inap desa di Parlimen Puncak Borneo perlu kreatif dalam menawarkan pakej pelancong menerusi media sosial bagi menarik lebih ramai pelancong memilih inap desa mereka.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin berkata, medium media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram selain WhatsApp perlu digunakan sebaik mungkin oleh pengusaha inap desa.

Menurutnya, terdapat banyak destinasi menarik yang boleh dilawati pelancong tempatan atau luar negara di sekitar Puncak Borneo.


“Sehubungan itu, saya berharap para pengusaha inap agar kreatif dalam menawarkan pakej yang menarik menerusi media sosial.

“Kuasa media sosial kini semakin meluaskan kerana ia boleh ditonjolkan hingga ke peringkat dunia,” katanya ketika merasmikan bengkel ‘Sarawak Next Paradise Homestay’ di Skim Penempatan Semula Bengoh hari ini.

Seramai 350 peserta telah mengambil bahagian dalam bengkel sehari yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pelancongan dan tahap hospitaliti di Sarawak.

Willie menambah, para pengusaha inap desa juga harus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada para tetamu atau pelancong.

Katanya, ini kerana industri inap desa kini mampu menjana sumber pendapatan sampingan yang lumayan kepada para pengusaha inap desa.

“Jika kita berusaha gigih untuk menawarkan perkhidmatan menarik kepada pelancong ia tidak mustahil kepada kita untuk mendapatkan pendapatan yang menarik.

“Ingat, tiada perkara yang mustahil jika kita sentiasa berfikiran positif dan bertekad penuh dalam menjayakan sesuatu pekerjaan,” ujarnya. — DayakDaily