Lelaki OKU ditemui mati rentung dalam kebakaran

Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah.

KUCHING, Julai 8: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui mati rentung dalam satu kejadian kebakaran di Taman Putri, Bandar Baru Semariang di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.24 petang itu, lelaki warga emas terbabit ditemui rentung di dalam sebuah bilik tidur.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.25 petang.


Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, komander operasi melapor kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat berstruktur jenis kekal.

“Pihak bomba kemudian bertindak membuat pemadaman dan berjaya menghalang kemerebakan api ke rumah bersebelahan,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, selepas api berjaya dikawal, terdapat seorang mangsa lelaki warga emas OKU telah dijumpai di dalam sebuah bilik tidur.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian tersebut masih lagi dalam siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily