NRDA dijangka mengadakan mesyuarat pertama bulan ini

Awang Tengah (tengah) memotong kek bersama ahli Persatuan Anak Jati Lawas Di Kuching sebagai simbolik merasmikan Majlis Badudun Aidilfitri Anak Jati Lawas Di Kuching.

KUCHING, Julai 8: Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) yang baharu ditubuhkan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi wilayah utara negeri ini dijangka mengadakan mesyuarat pertamanya bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian dengan pada mesyuarat pertama lembaga tersebut dijangka diadakan selepas berakhirnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung dari Julai 9 hingga 18 depan.

“Selepas persidangan DUN terbabit kita akan mengadakan mesyuarat pertama NRDA dan kita akan mewujudkan jawatankuasa kecilnya yang akan membabitkan penyertaan golongan profesional kita dari Lawas dan Limbang,” katanya ketika menghadiri Majlis Badudun Aidilfitri Anak Jati Lawas Di Kuching anjuran Persatuan Anak Jati Lawas Di Kuching, di sini, hari ini.


Majlis terbabit juga dihadiri Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danu, Paulus Palu Gumbang.

Awang Tengah tidak memberi butiran terperinci mesyuarat itu tetapi menjelaskannya perlu kerana NRDA akan menumpukan pembangunan di Lawas dan Limbang dan perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumbalas diperlukan melalui jawatankuasanya bagi menentukan perkara yang perlu diberi keutamaan dalam merancang pembangunan terbabit.

“Ini termasuklah dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik, sistem telekomunikasi, pelabuhan dan lapangan terbang. Sekarang ini penerbangan ke sana hanya mengunakan pesawat Twin Otter dan kalau cuaca tidak baik akan menyebabkan penerbangan pesawat dibatalkan,” katanya.

Menurutnya NRDA sehubungan itu mengenalpasti kelebihan kawasan Limbang dan Lawas dalam merancangan pembangunan ekonominya samada dalam sektor pertanian, pengilangan dan pelancongan disamping mendapatkan juga maklumbalas dari sudut pendidikan, latihan teknikal, keagamaan dan kebudayaan penduduk setempat.

“Ini kerana kita bukan hanya mahu menjadikan kawasan utara negeri hebat dari segi pembangunan fizikal tetapi juga dari segi perhubungan masyarakat dan juga pembangunan sosialnya,” katanya dan berharap penduduk dari Lawas yang menetap di bandaraya ini dapat membantu usaha NRDA itu melalui Persatuan Anak Jati Lawas Di Kuching. ā€” DayakDaily