MIRI, 6 March: Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta di sini kerugian wang sebanyak RM200,635 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan “online part-time job’ dan pelaburan.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, mangsa berusia 52 tahun itu telah membuat transaksi sebanyak 18 kali ke 13 akaun bank di atas nama individu berlainan bermula 28 Februari sehingga 4 Mac tahun ini.
“Pihak polis telah menerima laporan kejadian daripada mangsa pada 4 Mac,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatApps dari seseorang yang menawarkan kerja secara sambilan.
“Mangsa diarahkan untuk melakukan beberapa tugasan mudah seperti menekan butang ‘Subscribe’ dan mangsa akan menerima bayaran bagi setiap tugasan yang dilakukan,” Alexson berkata.
Mangsa juga kemudian ditawarkan untuk melakukan tugasan yang lain iaitu dengan memilih pelabiran untuk menerima pulangan daripada pelabiran tersebut.
“Mangsa memilih tugasan pelaburan melalui pilihan yang diberikan kemudian mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran bagi pelaburan tersebut,” ujarnya lagi.
Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu apabila cuba mengeluarkan wang keuntungan daripada ‘reward’ tugasan yang dilakukan termasuk pelaburan yang dibuat tetapi diarahkan untuk mmebuat pembayaran cukai untuk pengeluaran itu. — DayakDaily