Timbalan Menteri: Pusat Kebudayaan Bidayuh di Bau dibina dalam masa terdekat

Henry (dua kiri) semasa lawatan ke tapak Pusat Kebudayaan Bidayuh di Bau. Turut kelihatan Ik Pahon (tiga kanan). Gambar Ukas.

KUCHING, 6 Feb: Pusat Kebudayaan Bidayuh di Bau bakal memulakan pembinaan dalam masa terdekat.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep, tender bagi pelaksanaan projek tersebut telah dikeluarkan pada bulan lepas.

“Pusat kebudayaan yang baharu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Greater Kuching Coordination Development Authorities (GKCDA).

“Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) akan bertanggungjawab kepada pelaksanaan projek sebaik sahaja ia bermula,” kata Harry.

Beliau yang juga Adun Tasik Biru semasa lawatan ke tapak Pusat Kebudayaan Bidayuh di Jalan Jambusan Lama hari ini turut mengadakan mesyuarat bersama Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik.

Hadir sama pihak konsultan dan pegawai dari Majlis Daerah Bau. — DayakDaily