Jambatan kayu di Kg Bobak Sejinjang yang roboh diganti ‘culvert’ baharu

Jambatan kayu di Kampung Bobak Sejinjang rosak akibat arus deras. Foto: Ukas

KUCHING, 6 Feb: Dua jambatan kecil yang roboh dan mengalami kerosakan akibat arus deras sungai semasa banjir melanda di Kampung Bobak Sejinjang akan dibaik pulih segera, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), hujan lebat berterusan telah menyebabkan air sungai naik mendadak dan diikuti arus deras.

“Ini telah menyebabkan kerosakan teruk pada jambatan kayu tersebut.


“Kerja-kerja membaik pulih jambatan besar dan membina ‘culvert’ baharu untuk mengganti jambatan kayu telah diarah serta merta.

“Ini memandangkan tidak ada lagi akses alternatif penduduk yang tinggal disana,” katanya semasa lawatan ke lokasi kejadian semalam.

Henry yang juga ADUN Tasik Biru memberitahu, baik pulih jambatan dan pembentung baharu akan segera dilakukan dengan menggunakan dana peruntukan Projek Kecil Luarbandar (MRP) supaya penduduk yang terjejas tidak lagi menghadapi terputus hubungan.

Pada hari yang sama, Henry turut melawat Tokong Lung Hua Kung di kawasan Musi bagi menyerahkan cek peruntukan MRP 2023 kepada dua persatuan belia.

Dua penerima tersebut ialah Persatuan Tarian Singa Dan Naga Wah Wei Musi Bau serta Sarawak Kuching Musi Long Hua Gong Dragon And Lion Dance Group dengan masing-masingnya berjumlah RM3,000. — DayakDaily