Penghuni Rh Bundan berdepan risiko bahaya akibat tanah susur

Pasukan bomba melakukan operasi pemantauan.

Oleh Dean Adam

SARATOK, Jan 2: Penghuni rumah panjang Bundan, Sungai Metong, Roban di sini berdepan risiko ekoran kejadian tanah susur hari ini.

Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Hamden Bladi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.37 petang.


Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

Pasukan bomba melakukan operasi pemantauan.

“Hasil pemantauan pasukan bomba di tempat kejadian mendapati berlaku kebocoran saluran paip air berdekatan rumah panjang tersebut.

“Kejadian itu dipercayai menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil dan berlakunya insiden tanah susur,” katanya di sini hari ini.

Hamden menambah, pasukan bomba kemudian menghubungi pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk ke lokasi seterusnya membuat pembaikan terhadap paip yang bocor.

Kelihatan keadaan tanah susur di kawasan rumah panjang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada mangsa yang terjejas dan dipindahkan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3 petang,” katanya. — DayakDaily