Gangguan bekalan air Lawas dibaikpulih

Gambar laman Facebook JBALB Sarawak

Oleh Roslan Mutu

KUCHING, 2 Jan: Gangguan bekalan air yang berlaku di daerah Lawas baru-baru ini telah ditangani oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bahagian Limbang untuk memastikan pengguna mendapat bekalan air berterusan di kawasan tersebut dengan secepat mungkin.

Gangguan yang berlaku pada petang Jumaat (28 Dis) adalah disebabkan oleh “cross arm” pada salah satu tiang elektrik kepada loji air wilayah Trusan yang telah patah.

Hasil kerjasama dengan Sesco Lawas yang membaikpulih bekalan elektrik ke loji tersebut, bekalan air kembali stabil keesokan harinya.

Namun demikian, bekalan elektrik ke loji telah terputus untuk kali kedua pada petang Ahad (30 Dis) disebabkan dahan pokok yang jatuh di atas talian elektrik loji yang sama disebabkan cuaca buruk.

“Tambahan pula, penjana elektrik siap-sedia (standby) gagal berfungsi akibat kerosakan komponen kritikal dan sedang dibaiki oleh kakitangan JBALB Limbang bersama pihak kontraktor,” Kementerian Utiliti Sarawak berkata dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Kerja-kerja pembaikan tiang elektrik telah siap pada jam 7.00 malam dan kerja-kerja flushing dilakukan sehingga bekalan air pulih dan stabil sepenuhnya selepas tengah malam.

“Sebagai tindakan jangkamasa pendek, pihak kementerian dengan kerjasama Sarawak Energy akan memastikan pembersihan tumbuh-tumbuhan di sepanjang talian elektrik ke loji dilakukan dengan lebih kerap semasa musim tengkujuh seperti sekarang.

“Terdapat juga projek naiktaraf loji air wilayah Trusan dalam masa terdekat,” ujar kenyataan tersebut.

Kementerian bersama JBALB akan sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna secara berterusan serta mengikut piawaian kualiti yang telah ditetapkan, ia menambah.

Sebarang masalah atau pertanyaan mengenai bekalan air di bahagian Limbang boleh terus menghubungi JBALB Bahagian Limbang di talian 085-283612. — DayakDaily