KUCHING, 20 Feb: Hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir pada pagi 16 Februari lepas adalah kejadian paling buruk bagi seorang penghuni di perumahan Taman Batu 9½, Jalan Penrissen di sini.
Mana tidaknya, pada tahun ini rumah beliau dimasuki air sehingga ke ruang tamu.
Menurut Homery Sylvester Pungga, 42, kebiasaannya pada setiap tahun air hanya memasuki bahagian dapur sahaja.
“Hujan lebat berterusan berlaku pada malam sebelumnya sehingga ke pagi.
“Bangun pagi saya menjangkakan bahagian dapur dimasuki air.
“Namun kali ini ruang tamu rumah pun dimasuki air; ini adalah paling teruk,” kata Homery.
Beliau yang hampir 30 tahun tinggal di kawasan tersebut sama sekali tidak menjangka air masuk sehingga ke ruang tamu.
Ini lebih-lebih lagi setelah sistem perparitan di kawasan tersebut dinaik taraf.
Tambah Homery, penduduk perumahan Taman Batu 9½ telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) berhubung masalah banjir yang sering melanda.
Justeru beliau berharap pihak MPKS memberi perhatian serius terhadap isu ini dan menyelesaikannya secepat mungkin.
Pada masa yang sama, pengerusi MPKS Dato Peter Minos ketika dihubungi, menjelaskan bahawa masalah banjir di Taman Batu 9½ yang berpunca daripada limpahan air sungai sebenarnya adalah dibawah tanggungjawab Pejabat Pengairan dan Saliran (JPS).
“Jika air banjir tersebut mengalir daripada sungai, itu adalah dibawah tanggungjawab JPS. Manakala banjir yang berpunca daripada masalah perparitan di sesuatu taman perumahan adalah dibawah tanggungjawab MPKS.
“Walau bagaimanapun, MPKS akan tetap membantu memaklumkan kepada JPS mengenai bencana banjir yang berlaku di mana-mana kawasan perumahan.
“Dalam hal ini, ramai yang salah anggap dan menuding jari ke arah MPKS jika berlakunya banjir yang berpunca daripada limpahan air sungai,” katanya. — DayakDaily