Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab, kata Abang Johari

Abang Johari(dua dari kiri) menyempurnakan acara simbolik Pelancaran Bantuan Makanan di Perkarangan Masjid Darul Ehsan Kampung Haji Baki. Turut kelihatan Awang Tengah (kiri). Gambar: UKAS

KUCHING, 8 Jun: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru para pengguna media sosial agar berhati-hati dengan setiap hantaran mereka khususnya di dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Katanya, setiap hantaran atau kenyataan yang dikeluarkan hendaklah berasaskan fakta agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan.

“Apa yang berlaku ialah ada di antara pengguna media sosial ini pandai mereka cerita pelik-pelik, jadi orang fikir ianya benar.


“Saya minta orang media sosial bertanggungjawab sedikit, kalau hendak keluarkan kenyataan biarlah berasaskan fakta.

“Jangan mengeluarkan kenyataan sebarangan kerana pembaca fikir ia benar dan boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang tahun 2021 di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini, hari ini.

Beliau mengulas berhubung permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan Sungai Plan di Bintulu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang tular di media sosial sejak Ahad lepas.

Menurut Abang Johari, permasalahan tersebut telah ditangani Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.

Berhubung program Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang tahun 2021, beliau berkata, ia memberi manfaat kepada 472 923 ketua isi rumah(KIR) di seluruh Sarawak terutamanya golongan B40.

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) katanya telah memperuntukan RM35 juta untuk membeli barangan yang akan diagihkan ke seluruh pelusuk negeri sehingga 11 Jun ini.

“JPBB akan menguruskan pengagihan bantuan makanan dengan bantuan Pusat Khidmat, agensi kerajaan yang berkaitan, Ketua Masyarakat dan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

“Seperti di Telang Usan, kita akan menggunakan khidmat helikopter Bomba untuk mengagihkan bantuan makanan,” ujar beliau.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily