Pengedar dadah ditangkap genggam syabu di Kuching

Merbin dan pegawai BSJN Kuching menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 20 Mei: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditangkap ketika sedang menggenggam dadah di tepi Jalan Suadi Haji Arshid, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek,28 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) sekitar jam 11 pagi selepas dilihat mencurigakan.


“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai dadah di dalam genggaman tangan suspek dan pemeriksaan selanjutnya di sekitar tempat kejadian telah menjumpai dadah di dalam satu plastik hitam yang diikat simpul.

“Jenis dadah yang ditemui ialah Methamphetamine sebanyak tiga plastik lutsinar seberat 58.93 gram dIanggarkan bernilai RM5,893,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dadah tersebut kemudian dirampas dan suspek ditangkap bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika disabitkan kesalahan, suspek yang juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine itu boleh dikenakan hukuman gantung mandatori sampai mati.

Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Hasil siasatan awal, suspek memperolehi dadah secara bank-in dari seorang pengedar di sekitar Kuching.

“Tindakan selanjutnya sedang dilakukan untuk mengesan pengedar tersebut,” katanya lagi.

Suspek selain itu mengaku mula terlibat dengan pengedaran dadah sejak akhir tahun 2018.

Suspek kini ditahan untuk siasatan dan direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 27 Mei ini. — DayakDaily