Tanah runtuh dekat simpang ke Marudi, sebelah laluan ditutup sementara

Caution sign. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 20 Mei: Satu lorong di laluan 18km dari Bandaraya Miri dekat Simpang Marudi terpaksa ditutup sementara selepas berlaku runtuhan kecil tanah di laluan berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata runtuhan tersebut yang dikesan berlaku pagi tadi berada kira-kira satu kilometer dari simpang Marudi menunju ke pusat bandaraya akibat hujan lebat yang berlaku sepanjang malam.

Katanya, pihak kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo (Pakej Kontrak Kerja 11) telah pun diarahkan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di laluan tersebut .


Ini sekaligus menyebabkan satu lorong di laluan berkenaan terpaksa ditutup untuk membolehkan kerja-kerja baik pulih jalan dapat dilakukan.

“Pihak kontraktor juga telah diarahkan untuk menempatkan anggota pengurusan trafik bagi memastikan perjalan trafik berjalan dengan selamat,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, JKR Sarawak turut mengingatkan orang awam untuk sentiasa memandu berhati-hati dan memperlahankan kenderaan masing-masing ketika menghampiri lokasi berkenaan.

Katanya, orang awam boleh menghubungi Pejabat Zon Utara, Unit Lebuhraya Pan Borneo, JKRS di talian 085-681327 sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berkenaan situasi semasa laluan trafik di kawasan tersebut. — DayakDaily