Pengawal keselamatan sekolah rendah di Niah ditahan polis atas syak mengugut rakan sekerja

Suspek kes ugutan jenayah melibat pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah (berdiri tiga dari kiri, barisan depan) dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri. Polis turut merampas sepucuk senapang "Pump Gun", sebilah parang dan 13 butir peluru dari suspek.

MIRI, 29 Mei: Tindakan seorang pengawal keselamatan sekolah rendah di Suai Niah, yang mengugut bunuh rakan sekerjanya membawa padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Suspek, warga tempatan, berusia 33 tahun itu ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada petang Jumaat di sebuah rumah panjang di Ulu Niah sekitar jam 6.30 petang susulan laporan mengenai kejadian dibuat oleh mangsa.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 27 Februari tahun ini di dalam pondok pengawal sebuah sekolah rendah di Suai, Niah.


Kejadian berlaku semasa pertukaran syif bertugas, dalam keadaan marah, suspek telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan bunuh terhadap pengadu.

Bimbang akan keselamatan dirinya, pengadu, berusia 50 tahun itu telah membuat laporan polis.

Semasa penahanan suspek dibuat, pihak JSJ turut merampas sebuah “Pump Gun”, sebilah parang dan 13 butir peluru hidup.

Timbalan Ketua Polis daerah Miri Supt Sabri Zainol mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily