Pengawal keselamatan kem pembalakan dicekup, disyaki miliki syabu

Royal Malaysia Police logo

MARUDI, April 12: Seorang pengawal keselamatan di sini dicekup selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu menerusi satu operasi khas yang dilakukan di sebuah rumah pekerja kem pembalakan di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak berjaya menahan lelaki berusia 49 tahun tersebut.

Ketua JSJN Sarawak, Supt. Sahar Abd Latif berkata, hasil pemeriksaan di ‘dashboard’ sebuah Toyota Hilux, polis telah menjumpai satu bekas besi warna hitam di dalam kenderaan tersebut.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut menemui 16 keratan tiub penyedut minuman yang setiap satu mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 5.3 gram.

“Selepas itu, pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur suspek telah menjumpai satu bekas plastik warna putih.


“Apabila dibuka serta diperiksa ianya mengandungi 21 paket plastik lutsinar yang setiap satu paket mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 34.15 gram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, nilai rampasan dadah jenis syabu itu dianggarkan sebanyak RM9,000.

Katanya, semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam kes di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat pada 2010.

“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Sentral Miri untuk proses tahanan reman.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 untuk 34.15 gram (syabu), Seksyen 39A(1) ADB 1952 untuk 5.3 gram (syabu) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 untuk urin positif,” ujarnya lagi. — DayakDaily