Projek Empangan Baleh tawar 3,500 peluang pekerjaan

Abang Johari (empat dari kiri) merakam gambar kenangan bersama Feng Jun (tiga dari kiri) dan Masing (empat dari kanan) semasa kunjungan hormat di Kuching.

KUCHING, April 12: Pembinaan Empangan Baleh yang dijangka bermula Oktober tahun ini mampu merancakkan sektor ekonomi di bahagian Kapit.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata demikian ketika hadir mengiringi kunjungan hormat delegasi dari China Gezhouba Group Co. Ltd di pejabat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di sini, petang semalam.

Menurutnya, projek pembinaan Empangan Baleh, Kapit yang bernilai RM9 bilion itu dijangka mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan.


“Dalam tempoh itu juga, projek berkenaan dijangka menyediakan kira-kira 3,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya semalam.

Sehubungan itu, Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berharap penduduk di sekitar Kapit merebut peluang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan kepada mereka.

Tujuan kunjungan delegasi yang diketuai oleh Pengarah Perniagaan Antarabangsa China Gezhouba Group Co., Ltd, Feng Jun itu adalah untuk menerangkan kepada Ketua Menteri kaedah bagi membangunkan Empangan Baleh.

China Gezhouba Group Co. Ltd merupakan sebuah syarikat pembinaan empangan yang terkenal di dunia dan berpengalaman dalam membina empangan yang hampir sama seperti projek pembinaan Empangan Baleh, Kapit. — DayakDaily