Penganggur larikan ambulans dihukum penjara 15 bulan

Tertuduh dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuching hari ini.

KUCHING, Mac 21: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap seorang lelaki yang didapati melarikan sebuah ambulans di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini pada Februari lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Mohd Azhar Baking Abdullah, 36, berkuat kuasa hari ini.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas tertuduh yang juga merupakan seorang pengganggur mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melarikan sebuah ambulans milik sebuah hospital swasta kira-kira pukul 12.50 tengah hari pada Feb 20 lalu.

Tertuduh dari Kampung Siol Kandis sebelum itu dimasukkan ke dalam wad HUS untuk menerima rawatan sebelum dia bertindak melarikan sebuah ambulans yang tidak dijaga selepas menurunkan pesakit di hospital tersebut.

Tertuduh kemudian melarikan ambulans itu sebelum meninggalkan kenderaan tersebut di Jalan Green.

DayakDaily sebelum ini melaporkan bagaikan aksi dalam sebuah filem apabila seorang pesakit nekad melarikan sebuah ambulans yang diletakkan di depan zon kecemasan HUS di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, suspek telah melarikan sebuah ambulans milik Pusat Kesihatan Pakar KPJ di sini. — DayakDaily