MPI merancang kerjasama dengan Kedutaan AS untuk mengadakan bengkel kewartawanan

Dr Chamil (tengah) melihat wakil media tempatan (kiri) menyampaikan sijil penyertaan Bengkel Melaporkan Bencana Secara Berkesan anjuran MPI dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur kepada wartawan yang menyertainya.

KUCHING, Mac 21: Malaysian Press Institute (MPI) melihat kemungkinan akan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi mengadakan satu bengkel melaporkan kejadian politik untuk kalangan wartawan di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPI, Dr Chamil Wariya berkata pihaknya kemungkinan mengadakan bengkel kewartawanan terbabit samada di Sibu atau Miri berikutan sudah ada mengadakan bengkel untuk wartawan di bandaraya ini.

“Melalui bengkel ini, kami berharap akan dapat memberikan (wartawan di Sarawak) pendedahan mengenai penulisan bidang politik dan membuat laporan mengenai kejadian bencana dalam arena politik,” katanya ketika majlis Penutupan Bengkel Melaporkan Bencana Secara Berkesan anjuran MPI, di sini semalam.

Dr Chamil berkata ini berikutan pihaknya dengan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sudah mengadakan bengkel kepada wartawan tempatan bagi mereka melaporkan kejadian bencana alam atau buatan manusia dan ada pihak mencadangkan penganjuran bengkel sama tetapi bagi melaporkan kejadian bencana politik.

Sehubungan itu, pihaknya berharap media di Sarawak dapat bekerjasama dengan MPI pada masa depan bagi membenarkan wartawan tempatan menyertai program dan bengkel kewartawanan yang akan dianjurkan institut itu di masa depan.

“Sekiranya kami akan mengadakan program (kewartawanan), kami akan memberitahu kamu (media tempatan) semua lebih awal supaya kamu dapat melepaskan beberapa wartawan bagi menyertai program kami,” katanya.

Katanya MPI juga akan memastikan program kewartawanan terbabit sebolehnya selama dua hari sahaja kerana sebelum ini banyak pihak media tempatan mengadu program itu yang selama tiga hari akan terlalu lama bagi melepaskan wartawan mereka.

Disamping itu, Dr Chamil juga mengumumkan MPI dijadualkan akan mengadakan acara program Zamalah Wartawan 1 Malaysia di bandaraya ini bagi disertai wartawan dari Sarawak dan Sabah hujung tahun ini.

“Kamu (media tempatan) boleh menghantar seramai mungkin wartawan menyertai program terbabit, tetapi kami mensasarkan mendapat seramai 20 orang peserta dari Sarawak dan Sabah serta sedikit dari Semenanjung,” katanya.

Program Zamalah Wartawan 1 Malaysia bertujuan mendedahkan para wartawan dengan isu-isu kenegaraan, undang-undang media selain mengasuh mereka dengan kemahiran menemuramah dengan cara yang betul serta menghasilkan karya kewartawanan bermutu tinggi. — DayakDaily