Penganggur ditangkap, disyaki miliki syabu di Bau

Kelihatan suspek yang ditahan dan syabu yang dirampas.

BAU, 8 Jun: Seorang penganggur ditangkap kerana didapati memiliki syabu dan positif dadah di Jalan Tongga Bau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Krokong Pisa, Bau itu ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat berkelakuan mencurigakan di tepi jalan raya tersebut sekitar jam 11.45 pagi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah berkaitan dadah sehinggalah pemeriksaan dilakukan ke atas beg sandangnya.


Dedah Poge, hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik kecil lutsinar yang berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu.

Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil saringan air kencing juga mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily