Penganggur ditahan polis kurang 8 jam selepas disyaki memecah masuk sekolah di Lambir

Suspek (empat dari kiri, depan) ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Mac: Polis semalam menahan seorang lelaki warga tempatan kerana dipercayai memecah masuk sebuah sekolah rendah di Lambir dan melarikan beberapa peralatan termasuk barangan makanan segera dari kuarters cikgu.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan kurang lapan jam selepas menerima laporan kejadian.


Beliau berkata, pada pagi semalam, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian pecah masuk sekolah berkenaan daripada pihak sekolah yang memaklumkan beberapa peralatan dapur serta makanan segera hilang.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 3.30 petang semalam di dewan serbaguna Kampung Tuanku Abdul Rahman, Jalan Miri-Bintulu.

Turut ditemui semasa tangkapan adalah sebuah tas tangan dan pemacu kilat (pendrive).

Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah dengan mengunting dawai pagar sekolah terbabit.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily