Penganggur ditahan, mungkin menghadapi hukuman gantung sampai mati

Dadah yang dirampas.

MIRI, Jun 19: Polis pada Selasa (Jun 18) telah menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Menurut ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, lelaki tersebut telah ditahan pada jam 10.50 pagi oleh sepasukan anggota Polis dari jabatan siasatan jenayah Miri di tepi jalan menuju ke Kampung Lopeng, Jalan Miri-Bintulu , until pemeriksaan.

Beliau menambah, suspek adalah penganggur.


“Polis menahan suspek yang ketika itu sedang menunggang sebuah motorsikal,” katanya.

“Semasa pemeriksaan fizikal dilakukan, pasukan telah menjumpai barang-barang kes (dadah) yang disembunyikan di dalam poket seluar yang dipakainya, dengan anggaran pasaran bernilai RM57,500,” ujar Lim.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Alta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Hasil siasatan lanjut terhadap suspek telah membawa kepada beberapa lagi penemuan dadah di sebuah bilik hotel di Jalan North Yu Seng.

“Kami turut merampas satu paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (31.26 gram),” jelas Lim.

Antara barangan yang turut dirampas adalah 100 paket plastik bewarna putih tertera tulisan ‘watermelon milk’ masing-masing berisi serbuk dadah disyaki dadah jenis MDMA ataupun dikenali sebagai Ecstasy seberat 4,700 gram.

Dadah yang ditemui semasa tangkapan.

“Lima belas paket plastik bewarna putih tertera tulisan “fruit hunter” masing-masing berisi serbuk dadah disyaki dadah jenis MDMA (400 gram),satu beg kitar semula warna putih tertera tulisan -‘oimei’, satu passport Malaysia terhad ke negara Brunei Darussalam, tertera nama suspek,” kata Lim.

Polis turut merampas satu kad akses pintu bilik hotel daripada suspek.

Lim menambah,bilik hotel tersebut dipercayai telah digunakan oleh suspek untuk menyimpan dadah.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati, suspek telah menginap di bilik tersebut selama seminggu sebelum dicekup pada pagi Selasa,” jelas Lim. — DayakDaily