KUCHING, 15 Ogos: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap proses kemasukan pekerja Indonesia diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya.
Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia seboleh-bolehnya tanpa melibatkan penggunaan tenaga manusia.
“Untuk penyelesaian jangka panjang, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan.
“Ia termasuk mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zuraida, dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat menggelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri.
Malah katanya, ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang.
Ujar beliau lagi, kementerian maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.
Isu kekurangan pekerja asing bermula susulan penutupan sempadan negara disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 memuncak dan meruncing sehingga menjejaskan proses menuai hasil di ladang-ladang seluruh negara.
“Kementerian pada masa sama turut menyambut baik persetujuan dilakukan oleh Republik Indonesia atas keputusan membenarkan semula kemasukan pekerjanya ke Malaysia yang telah berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 lalu,” katanya. — DayakDaily