Pengalaman buruk 22 bulan dibawah PH jadi pengajaran, kata Abang Johari

Abang Johari (kanan) pada sidang media selesai Majlis Pelancaran Manifesto GPS.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahukan kerjasama baik dengan kerajaan pusat yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tempoh 22 bulan dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah satu pengalaman buruk.


“PH pada pilihan raya umum yang lepas telah berjanji banyak perkara tetapi tiada satu yang dikotakan.

“Malah projek yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu sebelum PH juga telah dibatalkan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di sidang media selesai Majlis Pelancaran Manifesto GPS bagi PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Justeru, tambah Abang Johari, pengalaman buruk selama 22 bulan itu dijadikan pengajaran dan diharap tidak berulang lagi, jangan pisang berbuah dua kali.

Katanya, semua perkara yang berlaku di sepanjang tempoh tersebut harus diambil kira.

“Dan sekarang GPS bersendirian dalam meneruskan perjuangan politik, dimana kita juga mahukan sebuah kerajaan pusat yang kuat.

“Ini adalah kerana dalam tempoh beberapa tahun ini kita banyak membuat masa melakukan perkara yang sepatutnya tidak dilakukan.

“Kita sepatutnya melaksanakan polisi demi manfaat rakyat,” ujar Abang Johari. — DayakDaily