Pengagihan bakul makanan wajar telus dan adil

Jugah Muyang

KUCHING, Apr 24: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang menggesa agar pengagihan bakul makanan untuk diedarkan ke setiap kawasan parlimen yang diumumkan oleh kerajaan diberbaiki dan tidak melibatkan sebarang kepentingan politik.

Menurut beliau, selepas memasuki fasa keempat dan minggu kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 1,000 bakul makanan yang dijanjikan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada rakyat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kawasan parlimen Lubok Antu tidak berjalan seperti yang diharapkan.

“Ada segelintir masyarakat di kawasan Parlimen Lubok Antu tidak mendapat bantuan tersebut dan kerajaan juga perlu segera memperbaiki sistem pengagihan bakul makanan ini tanpa melakukan pemberian terpilih dan tidak mengambil kesempatan politik,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.


Beliau menambah bahawa bakul makanan tersebut dibiayai oleh Kementerian Kewangan; iaitu duit rakyat untuk golongan yang memerlukan bantuan dan tidak sewajarnya digunakan untuk mempromosikan agenda politik atau dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut juga menggesa agar pengagihan ini wajar dilaksanakan terus melalui JKM kerana mereka mempunyai data dan maklumat lengkap bagi mereka yang amat memerlukan dan layak menerima bantuan agihan bakul makanan tersebut.

Justeru itu, tegas beliau, adalah wajar bantuan bakul makanan ini diagihkan merujuk kepada senarai mengikut maklumat yang telah ditetapkan oleh JKM tanpa berkepentingan dan perlaksanaan telus membantu rakyat yang dalam kesusahan dalam tempoh PKP ini.

Beliau menerangkan bahawa pengagihan bakul makanan akan lebih telus tanpa melibatkan kepentingan politik atau dieksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab, yang boleh membuatkan tujuan dan objektifnya juga akan tersasar, sedangkan rakyat dalam kesusahan dalam tempoh PKP ini.

“Kegagalan memperbaiki sistem pengagihan bakul makanan di kawasan Parlimen Lubok Antu akan memberi kesan kepada keluarga kumpulan B40 terutama apabila kita kini memasuki minggu kelima PKP dan kerajaan persekutuan perlu bersedia untuk mengurus bantuan ini secara lebih adil andai PKP ini bersambung ke fasa yang seterusnya,” tambah beliau.—DayakDaily.