Penduduk Stampin digesa kembali kepada BN

Alexander (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Bukit Panchor sambil disaksikan oleh Sim (lima dari kanan), Lo (tiga dari kanan) dan tetamu lain.

KUCHING, April 12: Penduduk di kawasan Parlimen Stampin harus mengembalikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini agar tidak terus ketinggalan dalam menikmati pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata adalah amat penting untuk pengundi di konstituensi ini sedar tentang kerugian yang dialami mereka selama lima tahun lalu, sejak memilih wakil rakyat daripada pembangkang dalam PRU13.

Justeru, beliau berkata dengan kembali kepada BN, penduduk kawasan Parlimen Stampin akan dapat menikmati lebih banyak lagi pembangunan, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kampung.


“Lima tahun ini di bawah pembangkang, tidak ada apa yang penduduk Stampin dapat dan ini amat merugikan di mana bukan sahaja tidak mendapat projek-projek pembangunan, malah kebajikan turut diabaikan,” katanya sempena program ‘walkabout’ di Kampung Bukit Panchor di sini.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang.

Alexander turut mendedahkan bahawa penyandang Parlimen Stampin, Julian Tan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) langsung tidak pernah memperjuangkan hak ataupun membawa pembangunan untuk rakyat di kawasan ini.

“Beliau lantang bersuara di Parlimen tetapi tidak pernah memperjuangkan tentang isu-isu di dalam kawasan yang diwakilinya, yang beliau tahu hanya bercakap tentang isu nasional,” katanya.

Sementara itu, Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut menyeru penduduk di kawasan Parlimen Stampin agar kembali kepada BN dengan memberikan mandat semula kepada calon mereka pada PRU14 ini.

Menurut beliau, mandat daripada rakyat di konstituensi ini amat diperlukan kerana ia akan menentukan kelancaran pelaksanaan pembangunan di dalam kawasan.

“Kita mahu dua enjin di Stampin (Ahli Parlimen dan ADUN) supaya lebih kuat dan saya pasti kalau Ahli Parlimen Stampin dari BN selepas ini, kebanyakan masalah akan dapat selesai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sokongan 100 peratus daripada Bumiputera sahaja adalah tidak mencukupi untuk memberi kemenangan kepada BN di konstituensi itu memandangkan pengundi Bumiputera di kawasan ini hanya 35 peratus, berbanding 65 peratus pengundi Cina.

“Saya berharap pengundi Cina di kawasan ini akan dapat bersama-sama dengan pengundi Bumiputera untuk kembali kepada BN demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Sempena majlis, Alexander turut mengumumkan bahawa kementeriannya telah meluluskan tujuh projek berjumlah lebih RM775,000 untuk dilaksanakan di dalam kawasan Parlimen Stampin, yang dipohon oleh Sim dan Lo.

Projek-projek tersebut adalah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM240,000 untuk membaik pulih rumah penduduk yang memerlukan serta menaik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) Kampung Bumbok sepanjang 700 meter dengan anggaran kos RM200,000 dan Kampung Bukit Panchor sebanyak RM100,000.

Selain itu adalah Program Ameniti Sosial (PAMS) iaitu menaik taraf sistem perparitan sepanjang 312 meter di Lorong 2, Kampung Bumbok dengan kos RM120,000 termasuk pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) di Kampung Sandong membabitkan 11 tiang lampu dengan kos RM8,000 dan 10 tiang lampu di Kampung Panchor bernilai RM7000 serta jeti Kampung Batu Kitang Lama dengan kos RM100,000. — DayakDaily