Kegiatan pembalakan haram di Ulu Sungai Amang terbongkar

Kelihatan kayu balak yang dirampas di Ulu Sungai Amang, Kapit.

KAPIT, April 12: Kegiatan pembalakan haram di Ulu Sungai Amang di sini berjaya dibongkarkan menerusi satu operasi bersepadu yang dilakukan pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak dan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan berkenaan, semalam.

Jurucakap SFC berkata, serbuan yang dilakukan itu berjaya merampas 49 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis yang dilonggokan di sebuah kawasan hutan di situ.

Katanya, selain itu, pasukan serbuan berkenaan turut menyita dua buah traktor yang dipercayai digunakan oleh anggota sindiket untuk melakukan kegiatan pembalakan haram.

“Siasatan awal mendapati kesemua kayu balak itu dipercayai baharu ditebang dan dilonggokkan di pusat pengumpulan kayu di situ sebelum ia dipunggah.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada Jabatan Hutan Sarawak iaitu pada bahagian pangkal dan hujung kayu balak terbabit,” kata jurucakap SFC ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap sama memberitahu, nilai rampasan kesemua kayu balak berkenaan masih belum dapat dipastikan sehingga siasatan selesai dilakukan.

Jelasnya, satu laporan polis berhubung rampasan kayu balak dan traktor itu sudah dibuat sebelum diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Ordinan Hutan 2015,” ujarnya lagi. — DayakDaily