Penduduk Sarikei dan Bau diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan air

Gambar laman Facebook JBALB Sarawak

KUCHING, 7 Dis: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak meminta penduduk di kawasan Sarikei dan Bau bersedia menghadapi gangguan bekalan air.

Gangguan bekalan air di Sarikei pada Sabtu (8 Dis) adalah disebabkan paip pengepam utama 250 milimeter (mm) di Sungai Semelit akan dilakukan kerja baikpulih oleh kontraktor jabatan, dan ini memerlukan Stesen Pam Pengalak Pakan terpaksa ditutup sementara sepanjang tempoh kerja itu esok.

Gangguan di Bau pula akan belaku pada Isnin, 10 Dis, disebabkan kerja pemasangan paip sambungan di Kampung Kandis Baru Lot dengan kawasan yang mungkin terjejas ialah Kampung Kandis Baru, Kampung Kandis Lama, Simpang Spaoh dan Siniawan Melayu.


Gangguan di kedua-dua kawasan dijangka berlaku mulai jam 9 pagi sehingga 5 petang.

“Kawasan yang mungkin terjejas (di Sarikei) ialah Pedanum, Wuak, Engkamop, Jalan Sesco, Jalan Strass, iaitu dari Simpang Pakan Strass ke Rumah Penghulu dan sepanjang jalan utama Pakan ke pekan Pakan,” menurut laman facebook JBALB Sarawak.

JBALB Sarikei telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan mempercepatkan kerja baik pulih dan memendekkan masa gangguan bekalan air, menurut jabatan itu.

JBALB Sarawak sehubungan itu menasihatkan penduduk yang mungkin terjejas di Sarikei dan Bau supaya menyimpan dan menjimatkan pengunaan bekalan air sepanjang tenpoh gangguan terbabit. — DayakDaily