Penduduk Kampung Sibu Laut dan Sungai Aur kini nikmati bekalan air bersih

Rundi (tiga dari kiri) merasmikan Projek Bekalan Air di Kampung Sibu Laut.
Advertisement

TELAGA AIR, 6 Nov: Lebih 200 penduduk di Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur kini menikmati bekalan air bersih setelah sekian lama bergantung kepada air hujan.

Ini setelah siapnya Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Retikulasi Zon 1 pada bulan ini dengan kos RM4.16 juta.

Menurut Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi, pelaksanaan projek ini melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu.

Advertisement

“Ini termasuk pembinaan saluran paip submarin yang merentasi Sungai Sibu Laut ke Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur dan pembinaan Inline Booster Pump Station.

“Ini dapat menyelesaikan isu bekalan air di kedua-dua kawasan tersebut sekaligus merapatkan jurang perbezaan di antara penduduk luar bandar dan dalam bandar agar bersama-sama menikmati kemudahan utiliti asas ini,” katanya pada perasmian projek tersebut hari ini.

Menurut Rundi lagi, projek ini juga dijangka akan melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat dan memangkin sektor pelancongan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur.

Tambah beliau, kini kedua-dua kampung telah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan internet.

“Yang penting ialah penduduk di sini menggunakan kemudahan ini untuk membangunkan kampung khususnya dari sudut ekonomi, menjana pendapatan sendiri.

“Kawasan ini berpotensi dibangunkan dengan aktiviti ekopelancongan,” ujar beliau.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Hasbi Habibollah dan Menteri Muda Utiliti(Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. — DayakDaily

Advertisement