Lelaki dilaporkan hilang ketika buang air besar

Anggota bomba melakukan kerja mencari mangsa.

KUCHING, Jan 20: Hajat seorang lelaki warga emas untuk ‘membuang air besar’ di Pangkalan Panjang di sini berakhir dengan tragedi apabila dia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Sarawak, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Bujang Abdullah, 63, dari Kampung Sungai Bedil Besar di sini dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang ‘membuang air besar’.

Seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia yang bertugas di sekitar kawasan berkenaan ada ternampak mangsa sedang minum dan duduk di tebing pangkalan di situ.

Katanya, selepas itu, mangsa dikatakan mengadu sakit perut dan hendak membuang air besar di pangkalan berhampiran.

“Namun, selepas pergi ke pangkalan itu, lelaki tersebut dikatakan tidak kelihatan sebelum dia pergi melakukan tinjauan.

“Apabila gagal mengesan mangsa, dia terus menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan berhubung kejadian itu dari pihak polis pada pukul 1.10 pagi.

Jelas beliau, sejurus menerima laporan insiden, 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching telah bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Operasi pencarian mangsa dimulakan di permukaan sungai, tetapi gerak kerja amat terbatas kerana keadaan yang gelap.

“Setakat pukul 2 petang ini, mangsa belum lagi ditemui dan operasi mencari masih diteruskan,” ujarnya lagi. — DayakDaily