Penduduk di pendalaman tidak perlu ke Pekan Tatau untuk ambil bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang

Bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang tiba di salah sebuah rumah panjang di kawasan Tatau. Foto: Ukas

KUCHING, 13 Jun: Penduduk di kawasan pedalaman Tatau tidak perlu ke Pekan Tatau bagi mengambil bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), wakil Pusat Khidmat DUN Kakus Eugene John Sikie berkata, bantuan makanan ini akan dihantar ke tempat yang telah ditetapkan.

Kata Eugene, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta tuai rumah dan dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengambil dan mengagihkan bantuan tersebut.


“Langkah ini adalah merupakan salah satu prosedur operasi ‘standard’ (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19 dengan memastikan tidak terlalu ramai orang berkumpul dan mematuhi penjarakan fizikal,” katanya.

Menurut Eugene, pengagihan bantuan tersebut dilakukan dengan kerjasama rakan-rakan dari Pusat Khidmat ADUN Kakus, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), KMKK dan komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jelas beliau, bantuan makanan telah dihantar ke sebanyak 13 kawasan dan antaranya ialah Ulu Kakus, Entajum, Penyarai, Long Beyak, Sungai Arip, Sungai Tau, Sungai Bawang, Sungai Anak, Bukit Dinding, Begeri, Pengkalan Lobang dan Jalan Ladang 4 Lubok Bukut.

Bantuan telah dihantar dengan menggunakan lapan buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori.

Dalam pada itu, Kaunselor Minggu Angga yang merupakan sukarelawan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melahirkan rasa gembira kerana dapat membantu kerajaan Sarawak dan masyarakat dalam mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan di kawasan pedalaman ini.

“Sebagai orang awam dan sukarelawan, saya berasa gembira kerana dapat membantu kerajaan Sarawak dalam menghantar bantuan makanan ke kawasan DUN Kakus.

“Keprihatinan kerajaan Sarawak dalam memberikan bantuan makanan ini bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sangatlah dipuji,” katanya. — DayakDaily