Oleh Chris Bishop
ASAJAYA, 12 Okt: Penduduk di Kampung Beliong di Asajaya yang terpisah oleh Sungai Sabang selebar lebih satu kilometer masih mengharapkan perkhidmatan feri bagi memudahkan mereka menyeberangi sungai tersebut.
Menurut Kapitan Liu Ted Kong, penduduk termasuk di lapan lagi kampung berhampiran yang disifatkannya mendiami Pulau Beliong masih menggunakan perkhidmatan perahu tambang untuk ke Asajaya mahupun ke Bandaraya Kuching.
“Kalau disediakan perkhidmatan feri, ia adalah satu berita baik kepada kami penduduk di Beliong dan sekitarnya kerana memudahkan pergerakan kami.
“Hasil tanaman penduduk yang kebanyakannya pekebun kecil kelapa sawit dan kelapa juga boleh dipasarkan dengan mudah dengan kos pengangkutan yang lebih murah.
“Disebabkan jarak perhubungan yang sukar ke Kampung Beliong, penduduk terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengangkut hasil pertanian mereka untuk dipasarkan ke bandar,” katanya ketika ditemui DayakDaily hari ini.
Tambah Liu yang berusia sekitar 70-an, lebih 3,000 penduduk di kawasan tersebut masih bergantung kepada sungai sejak perkampungan dibuka lebih 90 tahun yang lalu.
Tambang yang dikenakan kepada penduduk yang menggunakan perahu tambang ialah sebanyak RM1 seorang dan RM3 untuk penunggang motosikal manakala kadarnya akan berganda bagi penduduk yang membawa barangan yang banyak.
“Bagi hasil tanaman pula, tambang menggunakan perahu khas untuk mengangkat kelapa sawit ke seberang adalah RM30 untuk satu tan dan perahu boleh memuatkan sehingga 3 atau 5 tan.
“Ini tidak termasuk caj lain seperti sewa lori dan gaji pekerja,” kata Liu.
Justeru tambah beliau, kemudahan perkhidmatan feri akan banyak membantu penduduk khususnya para pekebun kecil kelapa sawit dan kelapa.
Dalam pada itu, Liu mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menghubungkan Kampung Beliong ke Tanjung Bako dengan kemudahan jalan raya yang dikenali sebagai jajaran kedua Expressway Samarahan-Kuching.
Katanya, perancangan kerajaan itu sudah diambil maklum oleh semua penduduk dan diharap menjadi kenyataan kelak.
Kampung Beliong menjadi tumpuan orang ramai khasnya masyarakat Cina yang datang bersembahyang di Tokong Cina berdekatan kampung pada hujung minggu.
— DayakDaily