Feri Nanga Tulie sinar baharu penduduk Pelagus

Majlis Pandu Uji Feri Nanga Tulie di Nanga Anang.

KUCHING, 10 April: Kerajaan merancang untuk menyediakan perkhidmatan feri di Nanga Tulie, Pelagus di Kapit.

Menurut ADUN Pelagus Wilson Nyabong, kemudahan tersebut bakal menjadi sinar baharu buat penduduk di sekitar Pelagus.

Semalam, upacara simbolik tradisional miring Majlis Pandu Uji Feri Nanga Tulie telah disempurnakan Wilson di Tebing Sungai Batang Rejang, Logpond WTK, Nanga Amang.


Tujuan utama pandu uji feri dilakukan adalah bagi mengenalpasti keupayaan feri menyeberangi Sungai Batang Rejang.

Ini seterusnya membolehkan pihak perunding projek serta operator feri merangka langkah seterusnya bagi melaksanakan projek.

“Kerajaan Negeri komited dalam mempertingkatkan kemajuan infrastruktur di kawasan DUN Pelagus.

“Terdapat keperluan bagi perkhidmatan feri beroperasi sementara pembinaan jambatan yang bakal dilaksanakan kelak,”katanya pada majlis uji pandu feri tersebut.

Selain di Nanga Tulie, perkhidmatan feri yang sama juga dirancang di Sungai Melipis di Bukit Goran.

Menurut Wilson lagi, sebanyak RM280 juta telah diluluskan di bawah peruntukkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi pembinaan jalan dari Nanga Tulie ke Merit.

Turut hadir ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Unya, wakil Residen Wee Teck Min, dan Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut. — DayakDaily