Pendidikan salah satu keutamaan kerajaan Sarawak, kata Julaihi

Julaihi (duduk empat dari kanan) merakamkan kenangan bersama ibu bapa-ibu bapa, guru-guru dan murid-murid tabika.

KUCHING, 20 Sept: Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada penyediaan prasarana pendidikan.

Katanya, prasarana yang baik akan memberi keselesaaan dan persekitaran yang kondusif kepada anak-anak Sarawak untuk belajar.

“Maka sesebuah tabika bagi proses pendidikan awal lebih-lebih lagi untuk anak-anak Sarawak di luar bandar amatlah penting.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk sesebuah keluarga bagi membaiki taraf sosio ekonomi,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Tabika Baharu Kampung Hulu C dan D di Kampung Lot Baru Sebuyau hari ini.


Tambah Julaihi yang juga ADUN Sebuyau, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.

Dalam pada itu katanya, guru-guru tabika kini harus berkelulusan diploma.

“Oleh itu, ibu bapa, pihak guru serta tabika harus berkerjasama dalam usaha membentuk acuan pendidikan anak-anak mereka.

“Kerajaan berusaha menyediakan prasarana dan kemudahan, oleh itu ibu bapa perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Bangunan tabika tersebut telah dibina dengan kos RM400,000. — DayakDaily