Insiden Suke: KKR tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan, tegas Fadillah

Kelihatan Fadillah semasa lawatan ke lokasi kejadian.

KUCHING, 20 Sept: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan yang terjatuh dari struktur binaan lebuh raya projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dan menghempap sebuah kenderaan semalam.

Dalam satu kenyataan media selepas melawat lokasi kejadian petang hari ini, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menegas insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku dan KKR tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa orang ramai dengan tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dibuat.

“Pada masa sama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah diarah supaya melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja-kerja melibatkan keselamatan awam,” kata beliau.


Tambah Fadillah, bagi KKR, isu keselamatan ditempat kerja amat penting diambil perhatian dan dipatuhi oleh setiap pekerja yg terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham sahaja tetapi perlu membiasakan sepenuhnya dengan implikasi sebelum, semasa dan selepas pembinaan.

“Kejadian parapet yang jatuh menimpa kenderaan awam semalam dapat dielakkan jika semua pihak terlibat mematuhi sistem dan prosedur kerja yang betul mengikut garis panduan kerja yang diluluskan dan mematuhi spesifikasi dan kontrak,” katanya.

Beliau berkata tindakan serta-merta telah diambil dengan pihak pemaju utama MRCB Builders yang memberi Arahan Memberhenti Kerja (Stop Work Order) kepada subkontraktor (Makna Setia Sdn Bhd) dan menutup lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) Suke berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat. Pihak pemaju juga bertindak memeriksa semua tembok parapet untuk tujuan keselamatan, selain menyemak semula dokumen Prosedur Kerja Selamat dan Kaedah Kerja Pemasangan Tembok Parapet,” tambahnya.

Selain itu, Fadillah berkata kerja-kerja penutupan jalan dilakukan pihak trafik MRCB bagi kerja-kerja pengukuhan tembok parapet sehingga selesai dan kerja-kerja pengukuhan tembok parapet bermula pada jam 9.00 malam tadi serta diatas arahan bersama pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), semua besi permulaan hendaklah dikimpal dengan besi parapet secepat mungkin.

“Kerja-kerja pengukuhan kedudukan tembok parapet berakhir pada jam 5.00 pagi tadi dan pemeriksaan bersama dijalankan bagi memeriksa kimpalan yang telah dibuat. Pihak JKKP juga sudah melawat lokasi kejadian semalam dan kita masih menunggu hasil hasil siasatan daripada JKKP,”katanya.

Menurutnya pihak LLM/KKR kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak perlaksanaan tanggungjawab di semua peringkat sama ada di peringkat pemantauan, kualiti, rekabentuk dan metodologi kerja.

“KKR memberi amaran bahawa semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan perlu mematuhi semua proses, prosedur, spesifikasi dan kontrak kerja yang ditetapkan di tapak bina tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Fadillah juga menegas arahan lain yang dikeluarkan susulan insiden semalam termasuklah pihak LLM dan Prolintas perlu meneliti kembali kaedah rekabentuk yang paling sesuai melibatkan struktur bagi meminimumkan risiko kepada orang awam dan pekerja dapat dikurangkan.

Selain itu menurutnya, pemantauan dan kaedah kerja pihak perunding dan kontraktor perlu diteliti semula supaya keselarasan kaedah rekabentuk dan pemantauan di tapak dapat diseragamkan.

“Kajian menyeluruh perlu dibuat oleh pihak pakar yang berpengalaman bagi mencapai rekabentuk terbaik untuk meminimakan risiko semasa pembinaan yang melibatkan laluan trafik di jalan sedia ada. Pihak pemaju dan kontraktor diarahkan untuk mengambil tindakan bagi meringankan beban dan tekanan yang dihadapi oleh mangsa dan keluarganya akibat daripada kejadian ini,” tambahnya.

Katanya pihak LLM dan Prolintas diarahkan menyemak semula rekabentuk dan pembinaan yang melibatkan risiko kepada orang awam sebelum kerja-kerja disemua projek SUKE dan DASH dapat diteruskan semula.

Disamping itu pihak kerajaan akan merujuk pihak perunding kepada pihak Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) jika didapati terdapat unsur-unsur kecuaian dari segi rekabentuk dan pemantauan tapak. Tindakan tegas akan diambil kepada individu yang didapati cuai semasa pelaksanaan pembinaan. ā€” DayakDaily