Pencuri penutup tangki najis ditangkap, turut disyaki telibat kes curi motosikal di Padawan

PDRM logo

KUCHING, 10 Jun: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat mencuri motosikal dan besi penutup tangki najis serta kabel dari sebuah stesen minyak di Batu 6 di sini pada 7 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berumur 26 tahun ditangkap di tapak projek bekas pusat serenti di Batu 6 Jalan Kuching-Serian sekitar jam 4.45 petang semalam.

Katanya, tangkapan adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh pemilik stesen minyak tersebut yang turut berjaya merakam kes kecurian tersebut melakui kamera litar tertutup (CCTV).


“Hasil siasatan, suspek mengaku terlibat dengan kes curi besi dan kabel dari stesen minyak berkenaan.

“Dia turut memberitahu besi dan kabel yang dicurinya itu telah dijual di kedai besi buruk di kawasan Kota Sentisa dengan harga RM1 sekilo,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Suspek selain itu semasa ditangkap. dikatakan turut memiliki sebuah motosikal curi.

“Bagaimanapun dia hanya memberitahu motosikal tersebut diserahkan oleh rakan bernama ‘Boy’ untuk digunakan semasa kejadian mencuri besi dan kabel,” katanya.

Suspek kemudian ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Selain itu, dia turut didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau kes dadah.

“Sehubungan itu, dia akan menjalani saringan air kencing oleh cawangan Narkotik setelah reman diperolehi,” kata Abang Zainal. ā€” DayakDaily