Dua lelaki ditangkap, disyaki terlibat kes curi motosikal di Siburan

PDRM logo

KUCHING, 10 Jun: Dua sahabat ditangkap kerana disyaki terlibat kes kecurian motosikal di Taman Duranda Emas, Siburan semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kedua-dua suspek berusia 18 dan 24 tahun ditangkap di sebuah rumah di Taman Duranda Emas melalui Op Lejang sekitar kam 11.30 pagi.

Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang jurujual mendakwa motosikalnya telah hilang dari rumahnya di Taman Duranda Emas pada 2 Jun lalu.


“Kedua-dua suspek tidak mengaku terlibat sama dalam kejadian curi motosikal dan seorang daripada suspek memberitahu hanya mendapat tahu motosikal tersebut dicuri selepas dimaklumkan oleh sepupunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek kemudian ditangkap dan ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Difahamkan suspek berusia 24 tahun mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan suspek berusia 18 tahun satu rekod jenayah lampau.

Mereka juga disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua suspek akan menjalani ujian saringan awal air kencing dan akan disoal siasat lebih lanjut setelah reman diperolehi,” katanya. — DayakDaily