Pemulih peruntuk RM150 juta untuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta

File photo depicting a syringe and medicines. — DayakDaily.com file pic // Image by Arek Socha from Pixabay

KUCHING, 28 Jun: Kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja.

“Kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan.


“Kerjasama ini penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik,” katanya semasa mengumumkan Pemulih hari ini.

Di bawah inisiatif ini, tambah Muhyiddin, kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin Covid-19.

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.

“Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.

“Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin,” jelas Muhyiddin. — DayakDaily