Kerajaan peruntuk RM18 juta bagi kemudahan bank bergerak

File photo for illustration purposes

KUCHING, 28 Jun: Kerajaan menawarkan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pada pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bakal merangkumi 250 kawasan di luar bandar.

“Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun, penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang pembayaran bil serta perbankan digital.

“Ini bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan,” katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

Katanya, kemudahan itu yang dianggarkan bernilai RM500 juta dan bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.

“Ketika ini kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir semua aktiviti harian.

“Ini termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan Kerajaan serta swasta,’ujar beliau. — DayakDaily